Hamidin Buat Tindakan Bijak

Hamidin FAM 2 Hamidin Buat Tindakan Bijak
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
7:24pm 06/08/2022

Tindakan yang dilakukan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin dilihat sangat efisien dan teliti dalam usaha untuk membangunkan bola sepak Malaysia.

Menerusi satu kenyataan pada Kongres Tahunan FAM ke-58, beliau mendedahkan bahawa sebelum Kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-Gon ada meminta badan induk itu merancang perlawanan persahabatan.

Katanya, perlawanan persahabatan antarabangsa itu sepatutnya melibatkan pertemuan dengan Hong Kong dan Chinese Taipei pada bulan September.

Walau bagaimanapun, Hamidin menegaskan beliau telah pun menolak cadangan tersebut dengan mengambil kira pelbagai keperluan dan faktor.

Malah, setelah melakukan perbincangan bersama Pengarah Teknikal, Scott O’Donnell , beliau berpendapat Malaysia perlu berdepan dengan lawan yang berada di ranking FIFA lebih tinggi saat ini.

Hal ini sebagai satu langkah progresif untuk memastikan persiapan Harimau Malaya berjalan lancar bagi menghadapi Piala Asia 2023.

Oleh yang demikian, FAM dengan hati yang terbuka menerima jemputan kejohanan King’s Cup di Thailand.

Dalam kejohanan tersebut, Malaysia dijangka berdepan dengan lawan yang berada pada kedudukan yang lebih baik seperti tuan rumah, Thailand, Kyrgyzstan dan satu lagi pasukan dari Amerika Latin.

Pertembungan ini amat penting bagi memastikan Pan-gon dapat meneliti dan membuat persiapan akhir menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023.