Hamidin Pikul Tugas Besar Di Piala Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin kini berada di Amerika Syarikat bagi menjalankan tugas menjelang Piala Dunia 2026.

Kejohanan Piala Dunia bakal bermula dengan 48 negara kini sudah pun berkumpul di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Antara tugas yang bakal dijalankan Hamidin sepanjang kejohanan berlangsung ialah ketua delegasi dan wakil Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di Los Angeles dan San Francisco.

Ini selaras dengan peranan beliau sebagai Ahli Majlis FIFA. Hamidin bertanggungjawab memastikan semua perlawanan di dua bandaraya berkenaan berjalan lancar.

“Saya antara Ahli Majlis FIFA. Kali ini kerana venue (Piala Dunia 2026) ada 16 (lokasi) jauh dengan ini semua. Saya dilantik sebagai ketua delegasi dan wakil presiden bertanggungjawab di LA (Los Angeles) dan San Francisco.

“Jadi, tugas LA (Los Angeles) dan San Francisco itu di mana setiap kali perlawanan sampai peringkat kumpulan tapi saya berpangkalan di LA (Los Angeles) sampai suku akhir. 

“Lepas itu, sampai semi final dengan final. Jadi tugas saya ialah nak pastikan (perlawanan) di tempat itu berjalan dengan lancar,” katanya.

Saingan Piala Dunia bakal membuka tirai dengan aksi pertama Kumpulan A antara tuan rumah, Mexico dan Afrika Selatan. Perlawanan itu akan berlangsung pada awal pagi Jumaat jam 3.00 pagi waktu Malaysia.