Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyeru semua pihak untuk saling membantu dalam memulihkan imej bola sepak negara.
Sejak minggu lepas, arena bola sepak negara dikejutkan dengan beberapa insiden jenayah membabitkan pemain bola sepak.
Minggu lalu menyaksikan pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid menjadi mangsa kes samun berhampiran kediamannya di Tanjung, Kuala Terengganu.
Beberapa hari selepas itu, bintang Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa kes simbahan asid di sebuah pusat beli-belah terkenal di Lembah Klang.
Dan semalam, cermin belakang kereta milik bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim dipecahkan di Jalan Seri Gelam, Johor Bahru.
Tiga insiden ini menyebabkan nama bola sepak Malaysia menjadi bualan bukan saja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Malah, berita ini turut mendapat perhatian di luar negara seperti Sepanyol dan Korea Selatan.
Hamidin mengakui insiden-insiden ini perlu dibendung demi kebaikan semua pemegang taruh sukan bola sepak negara termasuk penyokong. Atas sebab itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah ini.
“Kita kena pulihkanlah. Kita kena pulihkan sama-sama supaya perkara ini tak terjadi. Dan kita kena atasi masalah ini.
“Sama ada peminat, kelab, FAM ataupun MFL (Liga Bolasepak Malaysia), perlukan kerjasama semua pihak untuk atasi masalah ini,” katanya kepada media selepas melawat Faisal di hospital semalam.
Susulan insiden-insiden ini, kelab-kelab seperti Selangor dan JDT mula meningkatkan kawalan keselamatan demi keselamatan pemain, pegawai dan penyokong.
Selangor turut melancarkan kempen Solidariti Buat Faisal Halim beberapa hari lepas. Kempen ini bertujuan mendidik orang ramai terutama penyokong agar menolak unsur keganasan dalam bola sepak.