Penyerang muda kebangsaan, Haqimi Azim Rosli berkelana ke utara tanah air dengan menyertai Penang FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim.
Perpindahan pinjaman pemain berusia 23 tahun itu diumumkan pengurusan Penang menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.
“Penang FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran Muhammad Haqimi Azim Rosli sebagai sebahagian daripada skuad Harimau Kumbang bagi menghadapi saingan musim 2026/2027.
“Penyerang muda kebangsaan ini menyertai Penang FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim FC selama satu musim,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebelum menyertai Sang Harimau Kumbang, Haqimi menghabiskan kempen musim 2025/26 dengan dua pasukan berbeza. Separuh pertama musim menyaksikan beliau menyertai pasukan lamanya, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Apabila tetingkap perpindahan kedua musim itu dibuka pada Januari 2026, Haqimi memilih menyertai Terengganu FC. Kemasukan beliau dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alif Ikmalrizal Anuar yang tidak dikekalkan Penang untuk musim ini.
Alif dilaporkan bakal berkelana ke selatan tanah air untuk menyertai Melaka FC. Penyerang berusia 23 tahun itu dilaporkan bakal disertai bekas pemain Sabah FC, Jafri Firdaus Chew.
Haqimi menjadi rekrut terbaru Penang selepas Fazly Mazlan, Aliff Haiqal Lau, Danial Haqim Draman, Khala’if Naskam, M. Rakesh dan Ad’dha Nazman.