Aliff Haiqal Ke Penang Secara Pinjaman
MakanBola
Selangor FC

Pemain tengah Selangor FC, Aliff Haiqal Lau sah menyertai Penang FC secara pinjaman untuk musim 2026/27.

Perpindahan pinjaman pemain tengah berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu kenyataan ringkas di semua platform rasmi mereka.

“Pemain tengah, Haiqal Lau, kini secara rasmi dipinjamkan ke Penang FC bagi menghadapi musim 2026/27. Semoga berjaya, Nonet!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan pinjaman ini dilihat dapat membantu Aliff Haiqal mendapatkan minit permainan yang kerap bersama skuad Sang Harimau Kumbang.

Ini kerana pada musim 2025/26, beliau banyak memanaskan bangku simpanan dan beraksi sebagai pemain gantian baik di peringkat domestik mahupun di peringkat Asia atau ASEAN.

Aliff Haiqal juga hanya berjaya melengkapkan 90 minit perlawanan untuk aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Persib Bandung pada Oktober tahun lalu.

Beliau mengikut jejak beberapa rakan sepasukan yang pernah beraksi secara pinjaman di Pulau Mutiara. Antaranya Sikh Izhan Nazrel, Richmond Ankrah dan Quentin Cheng.

Selangor dilihat mula sibuk membentuk pasukan bagi menghadapi musim 2026/27. Majoriti pemain musim lalu dikekalkan seperti kapten Faisal Halim, Safuwan Baharudin, Chrigor Moraes dan Hugo Boumous.