Pemain perancang Perancis, Hugo Boumous sah kekal bersama Selangor FC untuk musim 2026/27.
Perkara ini disahkan pengurusan Selangor menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu. Boumous antara lima pemain import yang dikekalkan Merah Kuning setakat ini.
“Pemain perancang Perancis-Maghribi, Hugo Boumous melanjutkan pengembaraannya bersama SFC untuk kempen baharu 2026/27!
“Sejak mendarat di Shah Alam, arkitek bahagian tengah ini telah membawa ketenangan tulen, pengurusan tempo elit, dan kelebihan taktikal yang tersendiri ke dalam bilik enjin The Red Giants.
“Beliau telah mengawal rentak permainan sejak hari pertama, tidak kenal erti penat lelah dan mencipta peluang maut di bahagian pertahanan lawan dengan jumlah enam gol dan bantuan gol dalam hanya 14 penampilan untuk Merah Kuning setakat ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Meskipun hanya tiba pada Januari lalu, Boumous membantu Selangor mara ke final Shopee Cup dan meraih tempat ketiga Liga Super musim 2025/26.
Selain bekas pemain perancang Mohun Bagan itu, Selangor turut mengekalkan Safuwan Baharudin, Alex Agyarkwa, Richmond Ankrah dan Vitor Pernambuco.
Pengurusan Merah Kuning turut mengekalkan ramai tonggak tempatan. Antaranya kapten Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Nooa Laine, Quentin Cheng dan Harith Haiqal Adam Afkar.