Harapan Besar Dollah Salleh Buat Harimau Malaya
MakanBola
AFL/MNT

Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berharap Harimau Malaya tampil cemerlang dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Usaha Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 berakhir selepas Jawatankuasa Etika dan Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi kemenangan percuma 3-0 kepada Vietnam dan Nepal.

Ini selepas Jawatankuasa Etika dan Disiplin AFC mendapati Harimau Malaya menurunkan pemain yang tidak layak untuk perlawanan dengan dua pasukan itu pada Mac dan Jun 2025.

Situasi ini menyaksikan Vietnam layak ke Piala Asia 2027 selaku juara Kumpulan F dengan baki satu perlawanan. Malaysia pula jatuh di tempat kedua dengan sembilan mata.

Meskipun misi tersebut sudah berakhir, Dollah berharap anak buah Peter Cklamovski dapat menamatkan kempen Piala Asia 2027 dengan kemenangan.

“Bukan saya sahajalah, semua jurulatih dan rakyat Malaysia sekalipun menganggap tiada istilah yang menganggap bahawa kami sudah pun tersingkir.

“Kita tetap mahu skuad Malaysia keluar dengan kemenangan, Vietnam pun mungkin akan dapat malu.

“Kita kena buktikan tanpa tujuh pemain ini, Malaysia mampu buktikan adalah pasukan yang terbaik (dalam pertemuan ini),” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Malaysia akan menentang Vietnam pada 31 Mac ini di Stadium Thien Truong.