Skuad Harimau Malaya dilaporkan bakal menerima seorang pemain warisan baharu.
Maklumat tersebut didedahkan secara eksklusif oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu temu bual bersama Nadi Arena.
Meskipun begitu, identiti pemain warisan baharu itu tidak didedahkan. Zulhelmi memaklumkan pemain warisan baharu ini berkemungkinan dari Australia atau England.
“Saya difahamkan ada seorang lagi pemain berdarah campuran akan memperkuatkan pasukan negara. Ini eksklusif saya bawakan.
“Ini bukan daripada Brazil dan juga Argentina. Ini adalah darah warisan kita. Kalau warisan itu, kita boleh katakan daripada England atau Australia,” katanya.
Sebelum ini, Harimau Malaya bakal diperkuatkan dengan kehadiran trio pemain naturalisasi baharu yang mewarnai Liga Super iaitu Bergson da Silva, Giancarlo Gallifuoco dan Manuel Hidalgo.
Bergson dan Gallifuoco sudah melengkapkan semua syarat kelayakan naturalisasi yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hidalgo pula dijangka menyarung jersi Harimau Malaya selepas melengkapkan syarat kelayakan sama pada April ini.
Khidmat trio ini dijangka ditagih jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski bagi menghadapi saingan ASEAN Hyundai Cup 2026.