Advertisements
Harimau Malaya Tukar 3 Pemain Hadapi Laos
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Harimau Malaya melakukan percaturan baharu apabila menukar tiga pemain berdepan Laos.

Skuad kendalian Pau Marti beraksi dengan begitu baik apabila muncul juara Pestabola Merdeka 2024 selepas menundukkan Lubnan dengan keputusan 1-0.

Usaha mengekalkan momentum itu tidak berjaya apabila tunduk 4-0 di tangan New Zealand bagi satu aksi persahabatan Tier 1 FIFA.

Dua lagi aksi menanti skuad kebangsaan namun berdepan ujian berat selepas dua pemain tengah negara, Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal mengalami kecederaan.

“Fazrul Amir menggantikan Mukhairi Ajmal yang hadir melapor diri, hari ini tetapi terpaksa dilepaskan.

“Pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat kecederaan selepas beliau beraksi pada perlawanan AFC Champions League Two 2024/25 menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024.

Nasib sama dialami oleh Natxo Insa yang akhirnya terpaksa digantikan dengan perancang tengah KL City FC, Zhafri Yahya.

“Zhafri Yahya menggantikan Natxo Insa dari Johor Darul Ta’zim yang tidak dapat melapor diri kerana disahkan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan AFC Champions League Elite 2024/25 menentang Ulsan HD pada 5 November 2024,” ujar kenyataan FAM.

Perkembangan terbaru menyaksikan penyerang JDT, Romel Morales tidak dapat membantu skuad negara susulan kecederaan dan digantikan dengan Fergus Tierney.

Malaysia akan menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.