Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti memberikan sebab menyisihkan perancang tengah berpengalaman, Natxo Insa.
Tonggak berusia 38 tahun itu berada dalam senarai awal 26 pemain yang bakal berdepan Laos dan India bagi aksi persahabatan Tier 1 FIFA, November ini.
Hasrat untuk melihat kelibat arkitek JDT itu tidak kesampaian apabila beliau telah ditukar dengan pemain KL City FC, Zhafri Yahya.
Menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengendali kelahiran Sepanyol itu menjelaskan sebab Natxo Insa tidak dapat dibawa bersama pasukan kebangsaan.
“Zhafri Yahya, pemain berusia 30 tahun itu menggantikan Natxo Insa dari Johor Darul Ta’zim yang tidak dapat melapor diri.
“Hal ini selepas beliau disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan AFC Champions League Elite 2024/25 menentang Ulsan HD pada 5 November 2024,” kata Pau Marti.
Beliau juga menyifatkan tonggak tengah itu sebagai antara salah seorang aset negara dan kecewa tidak dapat menggunakan khidmat pemain tersebut.
“Natxo seorang pemain yang hebat, saya kecewa kerana tidak dapat menggunakan khidmatnya,” tambah Pau ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.
Seorang lagi pemain yang tidak dapat dibawa ke kem kebangsaan ialah tonggak Selangor FC, Mukhairi Ajmal yang turut mengalami kecederaan.
Malaysia akan menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.