Pemain tengah Harimau Malaya, Hector Hevel mengesahkan datuknya berasal dari Melaka.
Hal ini dinyatakan sendiri pemain tengah berusia 29 tahun itu apabila ditanya tentang hubungan keluarganya dengan Malaysia.
“Ya, datuk saya berasal dari Melaka,” kata pemain tengah Portimonense itu kepada media hari ini.
Hevel menjadi tumpuan selepas menjadi pemain terbaru berpangkalan di luar negara menyertai kem Harimau Malaya pada Mac lalu.
Nama bekas graduan akademi ADO Den Haag itu menjadi bualan penyokong apabila meledakkan gol sulung dalam penampilan pertamanya ketika menentang Nepal.
Kini, Hevel dijangka mewarnai saingan Liga Super musim 2025/26. Ini selepas bekas pemain AEK Larnaca itu memaklumkan beliau akan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kali kedua beliau beraksi di Asia. Sebelum ini, Hevel pernah beraksi di China dengan mewakili kelab Guangxi Pingguo.