Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mempertahankan anak buahnya, Ng Tze Yong yang memerlukan masa bagi mendapatkan rentak permainannya.
Menurut laporan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, Hendrawan berkata pemain berusia 24 tahun itu sedikit berbeza berbanding pemain lain seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia yang memiliki kelebihan dari segi kekuatan fizikal.
“Coach Hendrawan perjelas Ng Tze Yong bukanlah seorang pemain yang memiliki fizikal dan kekuatan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia“, tulis beliau di laman X.
“Dia merupakan seorang pemain yang memerlukan masa dan ‘build up play’ untuk mencongak strategi dan taktikal dari jurulatih.”
Musim lalu, Tze Yong mencuri tumpuan dengan kejayaan mara ke final Arctic Open 2023 sebelum ditundukkan rakan senegara, Lee Zii Jia.
Ditambah juga dengan aksi cemerlang beliau menumbangkan jaguh dunia, Viktor Axelsen di pusingan pertama All England 2023 masih segar di ingatan para peminat.
Kini, beliau yang dibimbing Hendrawan dalam persiapan akhir bagi menghadapi Petronas Terbuka Malaysia 2024 yang dijadualkan bermula pada Selasa depan.
Pemain kelahiran Johor itu akan turun menentang wakil Jepun, Koki Watanabe pada pusingan pertama Petronas Terbuka Malaysia 2024 nanti.