Hong Wan Antara 13 Pemain Dalam Senarai Bersedia Malaysia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bintang Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Hong Wan, merupakan antara 13 pemain yang tersenarai dalam skuad bersedia Malaysia bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.

Walau bagaimanapun, Malaysia telah mengesahkan bahawa tidak akan mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi susulan pemotongan mata yang dikenakan akibat isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi laman sesawang rasminya, yang menyaksikan Hong Wan tersenarai dalam skuad bersedia Harimau Malaya.

Kali terakhir kelibat Hong Wan beraksi bersama Johor Darul Ta’zim FC (JDT) adalah pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC pada 17 Disember 2025, apabila beliau dimasukkan sebagai pemain gantian dan beraksi selama 31 minit.

Perlawanan tersebut menyaksikan JDT menewaskan KL City dengan keputusan 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Selain Hong Wan, dua lagi pemain daripada kelab Johor Darul Ta’zim FC turut tersenarai dalam skuad bersedia. Pemain-pemain tersebut ialah Syamer Kutty dan Zulhilmi Sharani yang mewakili pasukan JDT II.

Seterusnya, empat pemain daripada Terengganu FC turut tersenarai, iaitu Safwan Mazlan, Shahrul Nizam, Suhaimi Husin dan Azam Azmi.

Selain itu, tiga pemain daripada Selangor FC, iaitu Aliff Izwan, Sikh Izhan dan Kalamullah Al-Hafiz, juga berada dalam senarai tersebut.

Akhir sekali, masing-masing seorang pemain daripada Kuching City FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC turut disenaraikan, iaitu Jordan Mintah, Adam Nor Azlin dan Darren Lok Yee Deng melengkapkan 13 pemain yang berada di senarai bersedia.

Dengan situasi semasa yang semakin meruncing, perjalanan Malaysia ke Piala Asia AFC 2027 dianggap sudah tertutup, selepas 6 mata yang diraih oleh pasukan negara kini ditolak.

Kedudukan semasa menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga kedua dengan mengumpul 9 mata, manakala Vietnam pula berada di puncak sambil meraih 3 mata untuk mengutip 12 mata.

Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini apabila bakal terbang ke Nam Dinh untuk turun menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.