Punca dua pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) disisihkan dari tugasan kebangsaan dengan alasan yang cukup kukuh sekaligus menyaksikan Malaysia terlepas khidmat dua pemain berbakat.
Perkara ini disuarakan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM TMJ dalam satu wawancara bersama Nindia Bola tentang beberapa halangan yang menyebabkan sesetengah pemain JDT terpaksa pulang ke pangkuan kelab semasa kem latihan kebangsaan.
Baginda menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa ada pemain pasukannya dihalang untuk beraksi buat skuad kebangsaan.
“Tidak, saya tidak halang. Sebagai contoh, saya pelik kenapa Feroz tidak dipilih. Bagi saya beliau merupakan pertahanan yang amat baik. Tengok kepada statistik beliau pada musim ini. Satu hari nanti beliau akan menjadi kapten JDT.”
“Saya nampak pemain seperti Hong Wan memiliki potensi besar untuk bersama Malaysia. Kim Pan-gon perlu buat penilaian semula kerana beberapa pemain di tengah itu sudah tidak relevan.”
DYAM TMJ juga menafikan bahawa baginda memanggil pulang para pemain ketika bersama latihan skuad Harimau Malaya.
“Hong Wan cedera. Natxo Insa juga cedera. Ada kamu nampak beliau bermain buat JDT? Kalau tidak cedera sudah pasti beliau (Natxo) bermain buat kami.”
Baginda juga berharap agar barisan kejurulatihan negara tidak melakukan latihan yang membebankan pemain kerana pemain di JDT sudah pun menjalani latihan dengan intensiti yang terbaik.
“Shahrul Saad dan Feroz cedera ketika di kem kebangsaan. Hong juga pulang dengan kecederaan,” jelasnya kepada Nindia Bola, Astro Arena.
Malaysia memiliki tugas besar menjelang November ini dengan Kelayakan Piala Dunia 2026 menanti.
Kesebelasan terbaik sudah pasti menjadi taruhan pengendali kelahiran Korea Selatan itu bagi menghadapi ujian besar tidak lama lagi.