Hasrat untuk melihat kelibat dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Feroz Baharudin bersama tugasan skuad kebangsaan berdepan Papua New Guinea berkecai.
Dua pemain ini telah dilepaskan dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu selepas skuad negara baru sahaja mengharungi satu aksi pada Selasa menentang Kepulauan Solomon.
Natxo Insa hadir melapor diri bersama pemain-pemain lain pada 10 Jun lalu tetapi pemantauan harian oleh doktor dan fisioterapis pasukan mendapati beliau tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea.
Dua bintang JDT ini disahkan mengalami kecederaan hamstring sekaligus tidak dapat meneruskan perjuangan bersama Harimau Malaya.
Menerusi kenyataan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menzahirkan penghargaan kepada pemilik kelab JDT, Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) atas kesediaan baginda memberi ruang bagi skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat para pemain dari kelabnya.
“Sepertimana yang diketahui umum, separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini,” jelas Pan-gon.
Feroz pula sempat beraksi selama 44 minit bersama Shahrul Saaf di bahagian pertahanan sebelum dikeluarkan akibat kecederaan.
Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.