Pembuat kenderaan Korea Selatan, Hyundai diumumkan sebagai penaja utama baharu untuk saingan ASEAN Championship.
Sehubungan dengan itu, nama rasmi kejohanan juga ditukar dari ASEAN Mitsubishi Electric Cup kepada ASEAN Hyundai Cup.
Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth menyifatkan kehadiran Hyundai mampu menyuntik momentum baharu dalam arena bola sepak Asia Tenggara.
“Legasi kecemerlangan Hyundai dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada komuniti bola sepak global sejajar dengan misi AFF untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan bola sepak di seluruh Asia Tenggara.
“ASEAN Hyundai Cup merangkumi aspirasi tertinggi pemain, peminat dan negara rantau kita.
“Menerusi kerjasama bersama Hyundai, kami bersedia untuk menulis lembaran baharu yang menarik, yang akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang, mengukuhkan komuniti kami dan dengan bangganya mempamerkan semangat ASEAN yang tiada had kepada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Hyundai turut menjadi rakan kongsi penyampai untuk tiga lagi kejohanan anjuran AFF. Tiga kejohanan tersebut ialah Shopee Cup, Kejohanan ASEAN B-23 dan Kejohanan Wanita ASEAN.