Penyerang Singapura, Ikhsan Fandi sah berkelana ke Jepun dengan menyertai kelab J-League 3, Thespa Gunma.
Perpindahan penyerang berusia 27 tahun itu diumumkan oleh Gunma dan kelab lamanya, BG Pathum United.
“Kami dengan rasa sukacita mengumumkan Ikhsan Fandi yang sebelum ini bermain bersama BG Pathum United di Thailand pada musim 2025/26 telah menyertai kelab secara perpindahan tetap,” kata pengurusan Gunma dalam satu kenyataan.
Sebaik perpindahan itu diumumkan, Ikhsan merasa teruja kerana mendapat peluang beraksi di Negara Matahari Terbit itu. Justeru, bekas penyerang Ratchaburi itu mahu membantu Gunma tampil lebih cemerlang musim ini.
“Saya teruja mengambil satu langkah ke hadapan bersama Thespa Gunma. Saya bersyukur atas peluang baik ini dan sambutan mesra yang saya terima (bila tiba di sini).
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk kelab, rakan-rakan sepasukan saya dan para penyokong,” katanya.
Ikhsan antara enam tonggak import yang menjadi taruhan Gunma musim ini. Kelab J-League 3 itu berharap dapat bangkit dan kembali meraih kenaikan pangkat ke J-League 2 selepas tersingkir pada musim 2025.
Ikhsan menjadi pemain Asia Tenggara terbaru yang memilih berkelana di bumi Jepun. Sebelum ini, penyerang Thailand, Suphanat Mueanta memilih menyertai kelab J-League 2, RB Omiya Ardija.
Selain mereka, kapten Harimau Malaya, Dion Cools mewarnai saingan J-League 1 bersama Cerezo Osaka. Abang Suphanat, Supachok Sarachat pula berpotensi menentang beliau bila mewakili Hokkaido Consadole Sapporo.