Penyerang Singapura, Ilhan Fandi mengisi kekosongan yang ditinggalkan kapten Harimau Malaya, Dion Cools bersama Buriram United.
Ini selepas pengurusan BG Pathum United mengumumkan perpindahan pinjaman penyerang berusia 22 tahun itu ke Thunder Castle selama semusim.
“BG Pathum United mengesahkan penyerang Singapura, Ilhan Fandi, 22 akan menyertai Buriram United secara pinjaman untuk musim 2025/26,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Ilhan akan mengisi kekosongan bukan di posisi pertahanan yang sering digalas oleh Cools. Sebaliknya, beliau mengisi kuota pemain import ASEAN Buriram United.
Cools meninggalkan Thunder Castle untuk menyertai kelab Jepun, Cerezo Osaka. Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu diperkenalkan kepada penyokong sebelum aksi menentang Yokohama FC baru-baru ini.
Sepanjang bersama Buriram United, Cools telah meraih sembilan trofi termasuk Shopee Cup. Cools bukan satu-satunya pemain import ASEAN yang meninggalkan kelab itu.
Ini kerana Thunder Castle turut mengumumkan perpindahan pinjaman pemain pertahanan Filipina, Jefferson Tabinas ke Chonburi. Tabinas menyertai kelab itu secara pinjaman semusim.