Imanol Machuca bakal kembali ke kelab Brazil, Fortaleza.
Portal Dobre Amarilla melaporkan pemain sayap Harimau Malaya itu akan kembali ke Fortaleza selepas Velez Sarsfield memilih tidak melanjutkan kontrak pinjaman beliau.
Klausa penamatan itu ada dalam kontrak pinjaman Machuca. Ini membolehkan Velez mengambil keputusan itu lebih-lebih lagi dengan beliau masih menjalani penggantungan sehingga November ini.
Machuca menyertai Velez secara pinjaman pada tahun 2025. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya perlu menjalani penggantungan pada September tahun sama susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.
Machuca kemudiannya dibenarkan beraksi pada Januari lalu selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS) membenarkan ketujuh-tujuh pemain beraksi sementara menunggu keputusan rayuan.
Mereka kemudiannya perlu menjalani baki penggantungan selepas CAS menolak rayuan yang dikemukakan. Meskipun tidak dibenarkan beraksi di atas padang, ketujuh-tujuh pemain termasuk Machuca dibenarkan melakukan aktiviti bola sepak termasuk berlatih.
Isu penggantungan juga menyaksikan bekas pemain Union Santa Fe itu tidak menerima gaji daripada Velez. Ini sebahagian daripada persetujuan Machuca dan kelab seandainya beliau dikenakan penggantungan semula.
Sepanjang bersama Velez, Machuca telah menjulang dua trofi dan merekodkan satu gol dalam 28 penampilan.