India Open: Nasib Berbeza Menanti 4 Beregu Malaysia
UltraSukan
BA Malaysia

Nasib berbeza menanti empat beregu lelaki Malaysia menjelang aksi pusingan pertama India Open 2026.

Ini kerana empat beregu negara akan berentap sesama sendiri untuk memburu kemaraan ke pusingan kedua. Ini berdasarkan cabutan undi kejohanan yang dikeluarkan BWF.

Naib juara Malaysia Open, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik akan menentang Aaron Tai dan Kang Khai Xing. Satu lagi aksi menemukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Pertemuan Aaron-Wooi Yik dan Aaron-Khai Xing dilihat menarik kerana menemukan bekas juara dunia dan bekas juara remaja dunia.

Sekiranya dua daripada empat regu ini meraih kemenangan, mereka akan berpotensi berhadapan rakan senegara di pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik atau Aaron-Khai Xing berpotensi berdepan Arif Junaidi-Yap Roy King di pusingan kedua. Arif-Roy King berpotensi berdepan salah satu daripada dua regu itu dengan syarat mereka menewaskan wakil Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.

Situasi sama juga akan dihadapi Wei Chong-Kai Wun dan Azriyn-Wee Kiong. Mereka berpotensi menentang satu lagi wakil negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri di pusingan kedua.

Beregu ke-33 dunia itu berpotensi berbuat demikian dengan syarat melepasi halangan wakil Perancis, Christo dan Toma Junior Popov.

Satu lagi pertembungan yang bakal menjadi tumpuan ialah pilihan keenam kejohanan, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei. Izzuddin-Sze Fei akan turun menentang Goh V Shem dan Choi Sol-gyu.