Pemain beregu Malaysia, Teo Ee Yi terpaksa melupakan hasratnya untuk beraksi di Terbuka India minggu ini.
Hal ini kerana, terdapat masalah dari sudut visa miliknya yang menyebabkan beliau tidak dibenarkan memasuki India.
Menerusi hantaran di Instastory milik beliau, pemain berusia 30 tahun itu mengakui kesilapan dirinya dan telah berusaha mendapatkan visa kecemasan bagi mengelakkannya dihantar pulang ke Malaysia.
“Sebab sendiri punya silap, salah mohon E-visa pakai pasport lama. Jadi sekarang tak boleh masuk India, mereka cakap nak hantar saya pulang. Sekarang tengah cuba buat visa kecemasan, kalau tak boleh maka terpaksa tarik diri dari Terbuka India,” tulis beliau di Instastory.
Perkongsian terbaharu dari beliau menyaksikan beliau terpaksa menarik diri daripada kejohanan India Open tersebut dan sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air. Beliau juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dirinya.
“Pertamanya, terima kasih kepada Kedutaan Malaysia kerana membantu saya dan juga sesiapa yang membantu dan bimbang dengan diri saya.”
Malangnya, tiada apa yang boleh kami lakukan, mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan saya sekarang sudah berada dalam pesawat. Mohon maaf kepada semua, itu adalah kesilapan saya dan pada akhirnya, kami perlu menarik diri daripada menyertai Terbuka India,” tulisnya lagi.
Teo Ee Yi yang bergandingan bersama Ong Yew Sin dalam acara beregu lelaki kini berada di ranking ke-12 dunia dan sedang pengejaran mata untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
India Open yang dijadualkan bermula pada 16 Januari sehingga 21 Januari 2024 ini diadakan di New Delhi, India.