Advertisements
Indonesia Masters: Lee Zii Jia Leburkan Tentangan Jaguh Perseorangan Lelaki India
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Pemain ke-10 dunia, Lee Zii Jia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila layak ke pusingan kedua Indonesia Masters 2024.

Zii Jia, 25, mara selepas bekerja keras mengatasi cabaran bekas jaguh perseorangan lelaki nombor satu dunia dari India, Srikanth Kidambi di pusingan pertama.

Dari segi ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) dan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada anak jati Alor Setar, Kedah itu.

Ini kerana selain memegang ranking ke-10 dunia, Zii Jia juga memiliki kelebihan empat kemenangan daripada lima pertemuan sebelumnya. Sementara Kidambi, 30, pula berstatus pemain ke-25 dunia.

Kali terakhir kedua-duanya bertemu ialah dalam saingan Piala Sudirman 2023 untuk acara perseorangan lelaki. Zii Jia mudah mengatasi Kidambi dengan keputusan 21-16, 21-11.

Set pertama menyaksikan juara Indonesia Open 2017 itu mempamerkan aksi cemerlang di atas gelanggang.

Meskipun Zii Jia cuba memberi tentangan sengit kepada Kidambi, beliau terpaksa akur kepada jaguh India itu dengan keputusan 21-19.

Set kedua menyaksikan juara Arctic Open 2023 itu mempamerkan permainan lebih bertenaga ke atas lawannya itu. Zii Jia meninggalkan Kidambi jauh di belakang sebelum meraih kemenangan 21-14.

Keadaan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan bagi menentukan pemenang perlawanan.

Set ketiga menyaksikan Zii Jia makin dominan di atas gelanggang. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Kidambi membenarkan beliau melebarkan jurang pendahuluan sebelum meraih kemenangan 21-11.

Esok, Zii Jia bakal berdepan pemain nombor 20 dunia, Angus Ng Ka Lok dari Hong Kong dalam aksi pusingan kedua Indonesia Masters 2024.