Advertisements
Indonesia Masters: Lee Zii Jia Mara ke Suku Akhir Penuh Bergaya
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tampil cemerlang menewaskan Angus Ng Ka Long untuk layak ke suku akhir Indonesia Masters.

Di set pertama, Ng Ka Long yang dibimbing bekas jurulatih negara, Wong Choong Hann memulakan permainan dengan corak agresif bagi memerangkap Zii Jia.

Zii Jia kekal tenang mengutip mata dan berjaya mengikat kedudukan 18-18 seterusnya menutup aksi di set pertama dengan kemenangan 22-20.

Set kedua, Lee Zii Jia yang diiringi sorakan ribuan peminat di Istora Gelora Bung Karno terus menampilkan aksi mantap meskipun dicabar sengit wakil Hong Kong itu.

Selepas interval, permainan bertambah rancak dengan servis kerap bertukar tangan antara kedua-dua pemain.

Namun, beberapa kesilapan kecil Ng Ka Long memberikan mata mudah buat Zii Jia menamatkan permainan di set kedua dengan keputusan 21-15.

Kemenangan ini menyaksikan wakil negara itu akan bertemu sama ada Priyanshu Rajawat dari India atau bintang muda meningkat naik dari Kanada, Brian Yang di suku akhir esok.