Advertisements
Indonesia Masters: Regu Thailand Tamatkan Cabaran Nur Izzuddin & Sze Fei
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Usaha beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei untuk mara ke pusingan kedua Indonesia Masters 2024 tidak tercapai.

Ini selepas mereka gagal melepasi tentangan regu lelaki Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Woorapol Thongsa-nga di pusingan pertama kejohanan hari ini.

Nur Izzuddin-Sze Fei mahu melebarkan lagi rekod kemenangan ke atas regu yang menduduki ranking ke-47 dunia itu.

Kali terakhir kedua-dua regu bertemu ialah di pentas final Abu Dhabi Masters 2023. Nur Izzuddin-Sze Fei muncul juara selepas menewaskan Pharanyu-Woorapol dengan keputusan 18-21, 21-17, 21-12.

Set pertama menyaksikan pada awalnya, regu negara yang menduduki ranking ke-47 dunia itu ketinggalan pada kedudukan 7-4.

Bagaimanapun, Nur Izzuddin-Sze Fei berjaya mengejar Pharanyu-Woorapol dan mengikat kedudukan 9-9. Mereka kemudiannya mengungguli set pertama dengan keputusan 21-14.

Set kedua menyaksikan Pharanyu-Woorapol bangkit. Regu Thailand itu memanfaatkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Nur Izzuddin-Sze Fei untuk mendahului pada kedudukan 13-7.

Meskipun regu ke-21 dunia itu cuba merapatkan kedudukan, Pharanyu-Woorapol kekal unggul dengan meraih kemenangan 21-14 di set kedua. Ini memaksa perlawanan diheret ke set ketiga.

Set ketiga menyaksikan Pharanyu-Woorapol kembali dominan di atas gelanggang. Kesilapan demi kesilapan Nur Izzuddin-Sze Fei terutama di jaring membolehkan mereka meraih kelebihan pada kedudukan 11-9.

Dan itu sudah cukup buat Pharanyu-Woorapol meraih kemenangan dengan keputusan 21-18.

Mereka bakal bertemu pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi-Lin di pusingan kedua yang berlangsung pada Khamis ini.