Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan mara ke pusingan kedua Indonesia Masters selepas menewaskan Keng Shuliang-Zhang Chi dari China.
Aksi di set pertama menyaksikan pasangan negara bermula baik dengan pukulan-pukulan yang gagal dibalas lawan.
Pearly dan Thinaah berjaya meninggalkan lawan dengan jurang mata yang besar 13-6 sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan 21-12.
Bersambung set kedua, beregu negara yang kini menghuni ranking ke-13 dunia itu mula diasak hebat pasangan muda China tersebut.
Kedua-dua pasangan saling membalas serangan dan mengejar mata sebelum Pearly dan Thinaah mendahului saat interval 11-9.
Wakil dari China itu seakan mula hilang fokus selepas itu dan peluang ini digunakan sepenuhnya Pearly-Thinaah untuk menutup aksi di set kedua dengan kemenangan 21-18.
Pada pusingan kedua esok, Pearly dan Thinaah bakal menghadapi saingan beregu Perancis, Margot Lambert dan Anne Tran.