Suku akhir Indonesia Open menyaksikan tiga wakil negara yang meneruskan cabaran selepas pusingan kedua yang berlangsung pada Khamis.
Daripada sembilan wakil Malaysia yang beraksi di pusingan kedua, tiga wakil berjaya lolos ke suku akhir. Mereka ialah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Sze Fei-Izzuddin yang berstatus pilihan ketujuh kejohanan menewaskan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy. Mereka hanya memerlukan 31 minit untuk menewaskan beregu ke-11 dunia itu dengan keputusan 21-11, 21-13.
Naib juara dunia, Pearly-Thinaah juga hanya memerlukan setengah jam untuk menewaskan wakil Chinese Taipei, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan.
Meskipun diberi tentangan Ya Ching-Yu Hsuan, juara Indonesia Masters itu kekal tenang sebelum menang dengan keputusan 21-18, 21-19.
Beregu campuran negara, Soon Huat-Shevon menyerap tekanan penyokong di Istora Senayan, Jakarta sebelum menewaskan wakil tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu.
Mereka menunjukkan jalan keluar kepada pilihan kelapan kejohanan itu dengan keputusan 21-15, 21-19. Soon Huat-Shevon akan menentang pilihan keempat kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue di peringkat suku akhir.
Pearly-Thinaah pula dijangka menentang wakil Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara untuk mendapatkan tiket separuh akhir.
Sze Fei-Izzuddin pula akan menentang beregu bukan pilihan dari India, Hariharan Amsakarunan-M. R. Arjun. Selain berpeluang menempah tiket separuh akhir, ini juga peluang buat mereka membalas dendam untuk satu lagi wakil negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing.
Aaron-Khai Xing memberi tentangan sengit kepada Arjun-Hariharan sebelum tewas dengan keputusan 21-16, 15-21, 19-21.