Indonesia Pernah Beraksi Di Piala Dunia
MakanBola
PSSI

Ramai orang tidak tahu bahawa Indonesia pernah bermain di Piala Dunia, tetapi ia tidak dikenali sebagai “Indonesia” seperti hari ini.

Ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda, pasukan dari rantau ini bertanding di Piala Dunia FIFA 1938 dengan nama Hindia Timur Belanda (Dutch East Indies).

Mereka adalah pasukan Asia pertama dalam sejarah bermain di Piala Dunia, menurut rekod rasmi FIFA. Ini adalah sesuatu yang jarang diketengahkan dalam sejarah bola sepak moden.

Namun begitu, kisah mereka juga antara yang paling singkat. Pertandingan tersebut pada ketika itu menggunakan sistem kalah mati, berbeza dengan format yang digunakan pada masa kini.

Pasukan Hindia Timur Belanda hanya bermain satu perlawanan menentang pasukan Hungary di Reims, Perancis, pada 5 Jun 1938. dan tewas 6-0.

Pasukan Hungary merupakan kuasa besar di Eropah pada masa itu dan akhirnya mara ke final menurut sumber dari RSSSF.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah cara mereka layak. Pasukan Hindia Timur Belanda melangkau kesemua perlawanan dalam pusingan kelayakan kerana sekumpulan pasukan Asia menarik diri, yang bermakna mereka mendapat tiket percuma terus ke Piala Dunia.

Ini menunjukkan bahawa kemunculan awal Asia bukan hanya kerana kekuatan bola sepak tetapi juga disebabkan faktor geopolitik dan keadaan global ketika itu.

Jika dibandingkan dengan hari ini, jurangnya sangat besar. Pasukan Jepun dan Korea Selatan kini mampu bersaing hingga ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia.

Jika diimbas kembali, pasukan Hindia Timur Belanda hanya bermain satu perlawanan sahaja malahan juga tidak menjaringkan sebarang gol. Jurang ini menunjukkan sejauh mana perkembangan bola sepak Asia telah berkembang selama hampir seratus tahun.

Walaupun ia hanya satu perlawanan, penyertaan ini tetap signifikan. Ini menunjukkan rantau Asia, khususnya Indonesia telah lama hadir di pentas global sejak sekian lama, tidak kira keadaan politik yang sudah berbeza.

Sejak Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, pasukan bola sepak Indonesia masih belum berjaya kembali ke pentas Piala Dunia, sekali gus menjadikan memori 1938 sebagai satu-satunya penampilan mereka setakat ini.

Akhirnya, Indonesia mungkin hanya “singgah seketika” di Piala Dunia 1938, tetapi mereka adalah pelopor Asia di pentas bola sepak terbesar dunia.

Ia merupakan satu sejarah kecil yang cukup besar dalam konteks besar sejarah bola sepak rantau Asia.