Indra Putra Belum Berhasrat Gantung But
Liga Super
Kelantan United FC
Advertisements

Meskipun usianya kini mencecah 42 tahun, Indra Putra Mahayuddin masih belum terfikir untuk menggantung but.

Sejak membuat kemunculan pertama bersama Perak FC pada 1999, Indra telah merasai pelbagai pencapaian trofi seperti Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Selepas meninggalkan Perak pada 2003, beliau beraksi untuk beberapa pasukan seperti Selangor FC, KL City FC, Kelantan FC, Sri Pahang FC, Felda United FC dan T-Team (kini Terengganu FC II).

Advertisements

Kini bersama Kelantan United FC, Indra menyatakan selagi dirinya memiliki kudrat, selagi itulah beliau akan terus beraksi di atas padang.

“Sebagai pemain, dari segi persaraan itu, itu bukan mudah untuk membuat keputusan. Bergantung kepada diri sendiri juga. Insya Allah kalau saya masih lagi mampu bermain, kenapa tidak, kita teruskan.

“Dan apabila sampai ke satu tahap saya rasa kita sudah tak mampu, baik kita teruskan dengan persaraan itu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi untuk Nadi Arena baru-baru ini.

Advertisements

Sementara itu, Indra mendedahkan belum menerima tawaran kontrak baru daripada pengurusan Kijang Hijau. Dan sekiranya khidmat beliau masih diperlukan, Indra bersedia untuk kekal bersama pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.

“Sepatutnya masih belum ada perbincangan dan saya berharap Kelantan United ada masalah-masalah tertentu yang mahu diselesaikan. Insya Allah selepas selesai semua masalah, saya rasa mungkin ada tawaran penuh untuk semua pemain.

“Saya rasa kalau khidmat masih diperlukan Kelantan United, mungkin saya akan terus berada di sana,” ujarnya.

Advertisements

Sekiranya beliau kekal bersama Kelantan United, Indra berpeluang menambah bilangan gol yang dijaringkan dalam Liga Super.

Ini kerana beliau merupakan penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 107 gol.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram