Bek tengah, Giancarlo Gallifuoco menjelaskan kemenangan ke atas Borneo FC Samarinda dalam saingan Shopee Cup pada Khamis dicapai hasil cara KL City tersendiri.
Aksi kedua peringkat kumpulan B Shopee Cup 2024/2025 menyaksikan KL City bertemu jaguh dari Indonesia, Borneo FC Samarinda di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tampil cukup hebat sepanjang permainan sebelum jaringan tunggal Brendan Gan di minit ke-77 memastikan tiga mata berharga milik KL City.
Kemenangan tipis ini cukup bermakna buat The City Boys untuk memastikan kedudukan di tangga teratas kumpulan dengan enam mata maksimum bersama-sama Hanoi FC.
Sepanjang dua perlawanan dalam kejohanan ini, KL City mencatat dua kemenangan dan berjaya menjaringkan dua gol serta masih mengekalkan rekod tanpa bolos dari pihak lawan.
Menurut Giancarlo, satu permulaan positif buat KL City untuk meraih dua kemenangan tanpa dibolosi setelah fokus utama pasukan kini tertumpu kepada kejohanan ini.
”Sejujurnya, motivasi KL City selama ini tertumpu untuk kejohanan ini (Shopee Cup), jadi amat baik untuk memulakan kempen dengan dua kemenangan,” ujar Giancarlo dalam satu hantaran video.
”Saya mempunyai jangkaan yang tinggi kerana banyak kelab-kelab besar di dalam kumpulan ini tetapi 2 kemenangan hadir tanpa dibolosi, itu membuatkan kami sangat bangga.”
“Saya fikir kita boleh menjadikan aksi ini lebih senang, namun kami memilih jalan yang sukar tetapi semua orang tahu ini adalah cara KL City, saya sangat berbangga dengan pasukan ini.”
Saingan Shopee Cup bakal bersambung pada awal Januari dengan KL City bakal terbang ke Singapura untuk bertemu Lion City Sailors sementara Borneo berdepan Buriram di laman lawan.
Giancarlo dan KL City akan kembali menumpukan perhatian ke saingan Liga Super dengan menerima kunjungan Penang FC di Cheras pada Ahad, 29 September jam 5.30 petang.