Pemain tengah KL City FC, Brendan Gan mengakui kemasukan dua pemain gantian dalam aksi menentang Borneo FC memastikan pasukan itu meraih tiga mata penuh.
The City Boys berentap dengan Pesut Etam untuk aksi kedua Kumpulan B Shopee Cup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 26 September lalu.
Selepas kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan pada separuh masa pertama, jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac membuat pertukaran selepas rehat.
Kemasukan Zhafri Yahya dan Sean Giannelli membantu The City Boys meraih kemenangan menerusi gol Brendan pada minit ke-77.
Pemain tengah Harimau Malaya itu menyifatkan dua pemain berkenaan memberi impak positif dalam perlawanan tersebut.
Ini menunjukkan bahawa KL City memiliki ramai pemain berkualiti dan berupaya menghasilkan perubahan positif dari bangku simpanan.
“Anda tahu, mereka pemain yang cukup bagus. Penggantian pemain yang menakjubkan yang kita lakukan dari bangku simpanan.
“Saya fikir ada ramai pemain yang mampu beraksi dalam kesebelasan utama dan itu menunjukkan kualiti (pemain) kita di bangku simpanan.
“Zhafri seorang pemain kebangsaan dan beliau akan terus menjadi pemain kebangsaan. Anda tahu, kredit harus diberi kepadanya kerana menghasilkan gol berkenaan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi selepas perlawanan.
Kemenangan ke atas Borneo FC menyaksikan KL City kini menduduki tangga kedua Kumpulan B di belakang Cong An Ha Noi (CAHN). Meskipun berkongsi enam mata, CAHN mendahului dari segi kelebihan jaringan.
Kemenangan sama dijangka membakar semangat anak buah Kuljanac untuk kembali memburu kemenangan dalam Liga Super. Selepas ini, mereka bakal berdepan Penang FC di Cheras pada 29 September.