Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui anak-anak buahnya tidak bermain seperti yang diharapkan ketika tunduk di tangan wakil Jepun, Kawasaki Frontale.
Menurut laporan oleh Astro Arena, beliau merasakan pada perlawanan ini, gaya permainan anak-anak buahnya agak berbeza dari kebiasaannya dan bermain tidak seperti yang diharapkan olehnya.
“Bagi kami (perlawanan) malam ini agak berbeza, di mana kami tidak beraksi dengan ‘permainan’ yang kami inginkan”.
Pengendali berusia 43 tahun itu melihat para pemainnya beraksi dengan penuh keyakinan di awal permainan, namun keyakinan itu seolah-olah hilang sehingga mengundang kepada kekalahan.
“Biarpun nampak kami beraksi dengan yakin (di awal permainan), kami tidak beraksi sebagaimana yang sepatutnya,” jelasnya menurut Astro Arena.
Tambah jurulatih kelahiran Argentina itu lagi, beliau tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai perkara (hilang tumpuan) ini.
“Keyakinan itu ada, namun secara tiba-tiba kami seolah-olah hilang tumpuan. Tidak ada lagi ulasan lanjut berhubung perkara itu,” tambahnya lagi.
Beliau yang ditemui dalam sidang media selepas perlawanan mengesahkan bahawa pasukan bimbingannya itu sudah tersingkir daripada saingan ACL musim ini susulan kekalahan tersebut.
“Ini bermakna, kami telah tersingkir daripada saingan kali ini biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi selepas ini”.
Walau bagaimanapun, JDT akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan I dengan melayani kunjungan BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Disember 2023 manakala Kawasaki Frontale bakal berdepan Ulsan Hyundai.