Salah satu jaringan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika bertemu Sanfrecce Hiroshima benar-benar mengagumkan penonton yang hadir ke stadium semalam.
Kemenangan cukup manis dicapai oleh JDT apabila dengan garang mengalahkan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima 3-1 di hadapan sekitar 32 ribu penonton yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim.
Ager Aketxe, Bergson dan Marcos Guilherme masing-masing mencatat nama selaku penjaring gol pada aksi terbabit untuk membawa bekalan dua jaringan pada perlawanan timbal balik di Jepun.
Di sebalik kejayaan ini, fokus peminat jelas tertumpu kepada setiap serangan yang dilancarkan ke arah kubu Sanfrecce Hiroshima terutamanya gerakan-gerakan yang menghasilkan gol.
Antara gerakan yang mencuri tumpuan adalah jaringan ketiga JDT oleh Marcos Guilherme menerusi serangan balas pantas yang bermula dari bawah sebelum digerakkan kepada Oscar Arribas.
Personaliti bola sepak terkenal, Referee Kampung, yang turut berada di stadium semalam, nyata terkesima melihat gerakan tersusun JDT, seakan-akan menonton aksi pasukan gergasi Eropah, Real Madrid.
”Ini JDT ke Real Madrid? Memang padu serangan balas JDT (ketika) gol ini” tulis Referee Kampung merujuk kepada gerakan cantik antara Oscar Arribas dan Marcos Guilherme.
Ruangan komen turut bersetuju dan menyifatkan gol Marcos Guilherme itu antara jaringan terbaik JDT musim ini, lengkap dengan gerakan pantas dan tersusun yang memukau antara pemain.
JDT kini masih memiliki baki 90 minit yang perlu ditempuh di Jepun untuk aksi timbal balik berdepan Sanfrecce Hiroshima pada 11 Mac sebelum melakar sejarah baharu di pentas ACL Elite.