DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan pelantikan Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya sebagai terbaik.
Pelantikan bekas penyerang kebangsaan Kanada itu merupakan sebahagian daripada struktur baharu pengurusan Harimau Malaya.
Beliau menjadi figura ketiga yang dilantik selepas ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan ketua jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain.
Friend bukan saja berstatus bekas pemain bola sepak Kanada. Malah, beliau turut memiliki pengalaman dalam dunia perniagaan terutama dalam sektor sukan.
Salah satu daripadanya ialah penubuhan saingan Canadian Premier League (CPL) dengan Friend salah seorang pengasas bersama.
Sejak liga tersebut ditubuhkan, beliau membantu menaikkan angka liga berkenaan mencecah AS$300 juta (RM1.3 bilion) dalam tempoh enam tahun.
Atas sebab itu, Tunku Ismail menyifatkan dengan latar belakang yang dimiliki Friend, beliau dilihat orang yang tepat untuk membantu Harimau Malaya naik ke satu taraf yang berbeza.

“Keputusan terbaik ialah melantik seorang jutawan yang cukup berkelayakan dengan pengetahuan bola sepak yang bagus, memiliki kenalan dalam dunia bola sepak dan sangat mencintai sukan ini,” katanya di Instagram Story.
“Dengan kelayakan sebegini, jika satu hari nanti Malaysia tidak mahukan lagi khidmatnya, JDT (Johor Darul Ta’zim) sedia mengalu-alukan beliau dengan tangan terbuka.”
Friend bakal memulakan tugasnya secara rasmi di Wisma FAM pada Januari 2025.