“Ini Mungkin Musim Terakhir Saya” – Natxo Insa
MakanBola
Johor Southern Tigers

Perancang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa memberi bayangan bahawa musim ini berpotensi menjadi musim terakhir.

Pemain berusia 38 tahun menjadi watak penting skuad bimbingan Hector Bidoglio terutamanya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Beliau tampil dengan permohonan maaf secara terbuka susulan komen yang dilontarkan tempoh hari ketika JDT tunduk 1-0 di tangan Shandong Taishan di laman lawan.

“Menarik untuk siapa? Adakah (aksi) menarik itu untuk penyokong, pengadil atau kita, untuk siapa? Ya, macam saya katakan, jawapannya tetap sama.

“Mereka (Shandong Taishan) beraksi dengan 14 pemain. Jika anda perasan tentang pengadil, daripada 10 pemain, tiga atau empat orang pemain dilayangkan kad kuning (pada 30 minit awal permainan). Itu bukan sesuatu yang normal tetapi perlawanan sudah berakhir,” katanya.

Natxo bagaimanapun memohon maaf atas ketelanjuran katanya dan meminta maaf kepada semua pihak.

“Saya baru-baru ini melihat kenyataan pasca perlawanan selepas aksi ACLE menentang Shandong Luneng dan saya mahu memohon maaf kepada penyokong China dan pertandingan itu sendiri.

Natxo Insa turut memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang dan berharap penyokong dapat memahami situasinya.

“Ini tidak akan berulang lagi dan saya harap peminat bola sepak dan AFC boleh memahami rasa cinta dan sayang saya kepada bola sepak di mana kadang-kadang ia boleh menjadi tidak terkawal. 

Jeneral tengah Harimau Malaya ini memberitahu bahawa musim 2024/25 berkemungkinan musim terakhirnya dalam bola sepak profesional.

“Ini terutama cinta saya kepada Johor di mana saya berada di sini selama tujuh tahun dan saya mahu bermain dalam satu lagi pusingan 16 terbaik ACLE dalam apa yang berkemungkinan musim terakhir saya dalam bola sepak profesional,” tambahnya.

JDT kini menghuni tangga ke-6 dengan 8 mata selepas 6 perlawanan berbaki dua aksi peringkat kumpulan.