Ini Sebab Pemain Mesir Layan Aksi Real Madrid Sebelum Penalti
MakanBola
Egypt NT/Sukan+ RTM

Pasukan Mesir mencuri perhatian ramai apabila tular rakaman skuad The Pharaoph menonton semula aksi perlawanan melibatkan Real Madrid sebelum aksi penentuan sepakan penalti menentang Australia di pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA.

Apa yang lebih menarik, rakaman tersebut bukan sekadar tontonan biasa, sebaliknya digunakan sebagai bahan analisis taktikal oleh barisan pemain Mesir.

Ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ditonton oleh pemain Mesir pada saat genting itu sebelum penentuan penalti berlangsung.

Menerusi pemerhatian, aksi yang ditonton itu ialah perlawanan Real Madrid menentang Levante, ketika penjaga gol Australia iaitu Mathew Ryan, tampil beraksi bersama Levante dalam aksi LaLiga tersebut pada 17 Januari lalu.

Dalam pertemuan terbabit, Ryan dibolosi menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Kylian Mbappé, dan situasi tersebut menjadi fokus utama analisis skuad Mesir.

Para pemain Mesir dilihat meneliti corak pergerakan Ryan semasa berdepan situasi sepakan penalti, termasuk posisi badan serta reaksi awal penjaga gol itu sebelum sepakan diambil oleh penyerang Real Madrid dan Perancis itu.

Pendekatan itu nyata membuahkan hasil apabila Mesir berjaya menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Kemenangan itu menyaksikan Mesir mara ke pusingan 16 terbaik dan bakal menentang pemenang perlawanan antara Argentina dan Cape Verde bagi merebut tempat ke suku akhir.