Sebagai tanda sokongan kepada pasukan Malaysia yang akan berdepan Oman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan tayangan skrin gergasi di lokasi terpilih khas untuk para peminat bola sepak tempatan.
Aksi skuad Harimau Malaya kali ini amat penting memandangkan pasukan negara kini dalam kedudukan terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027
Inisiatif ini diumumkan menerusi satu hantaran di media sosial Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBS) beserta maklumat terperinci mengenai lokasi tayangan yang diadakan bagi setiap negeri.
Antara lokasi yang dipilih adalah Dataran Merdeka, Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Dataran Tasik Bandar Penawar, Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Politeknik Kota Bharu, Dataran Perayaan di Kuching, Padang Ragbi ERC di Sandakan dan lain-lain.
Penganjuran ini merupakan satu alternatif bagi para peminat Harimau Malaya yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium bagi kedua-dua aksi penting ini.
Sebelum ini, KBS juga pernah menganjurkan tayangan gergasi seperti ini ketika skuad kebangsaan mengharungi kempen Piala Asia di Qatar dan dua aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad negara bakal berdepan Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada awal pagi Jumaat waktu tempatan dan akan menentang lawan yang sama di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.
Malaysia kini berada di tangga teratas kumpulan E dengan enam mata hasil dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Chinese Taipei November yang lalu.
Manakala, Oman yang dibimbing jurulatih baru, Jaroslav Silhavy menghuni tangga kedua kumpulan dengan tiga mata setelah mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.