Saingan Piala Asia 2023 bakal menyaksikan kemunculan skuad senior Malaysia yang layak secara merit buat kali pertama sejak tahun 1980.
Justeru, sebagai tanda sokongan kepada Harimau Malaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan tayangan skrin besar perlawanan Kumpulan E skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)
Perkara ini diumumkan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi mereka.
Penyokong Harimau Malaya berpeluang menonton tiga perlawanan Kumpulan E skuad negara di dua skrin gergasi SNBJ.
Tiga aksi tersebut akan disiarkan mengikut waktu siaran yang dinyatakan. Skuad negara bakal turun menentang Jordan untuk aksi pertama Kumpulan E pada 16 Januari 2024, jam 1.30 pagi.
Ini disusuli aksi kedua menentang Bahrain pada 20 Januari 2024, jam 10.30 malam. Malaysia menutup kempen Kumpulan E dengan menentang Korea Selatan pada 25 Januari 2024, jam 7.30 malam.
Penyokong Harimau Malaya dibenarkan masuk secara percuma ke SNBJ untuk menonton perlawanan pada tarikh-tarikh yang dinyatakan.
Ini memberi alternatif kepada penyokong yang mahu menonton perlawanan Malaysia selain di skrin televsiyen.
Sebelum ini, Astro dan RTM mengumumkan bakal menyiarkan semua perlawanan Piala Asia 2023 secara langsung termasuk membabitkan Harimau Malaya.