Dengan saingan Piala Asia 2023 bakal bermula tidak lama lagi, peminat bola sepak Malaysia kini boleh menonton kejohanan berprestij itu di Astro.
Astro mengesahkan kesemua 51 perlawanan Piala Asia akan disiarkan secara langsung termasuk perlawanan membabitkan Harimau Malaya di Astro Arena dan Astro SuperSport.
Perkara ini diumumkan menerusi satu hantaran di akaun X Astro Arena lebih sejam yang lalu.
Perlawanan membabitkan Harimau Malaya bakal menjadi tumpuan penyokong kerana ini penampilan pertama skuad negara di Piala Asia sejak edisi 2007.
Skuad negara bakal menggalas cabaran Piala Asia 2023 dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Jordan pada awal pagi 16 Januari di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar.
Ini disusuli aksi kedua kumpulan menentang Bahrain pada 20 Januari di Stadium Jassim bin Hamad, Al Rayyan.
Malaysia akan menutup kempen Kumpulan E dengan menentang Korea Selatan pada 25 Januari di Stadium Al Janoub, Al Wakrah.
Pengumuman ini bakal menyemarakkan semangat penyokong Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada barisan 26 pemain yang dipilih Kim Pan-gon untuk kejohanan tersebut.