“Insiden Faisal Halim & Akhyar Rashid Tak Jejas Imej Liga Malaysia” – Stuart Ramalingam
Liga Super
Azri/MakanBola
Advertisements

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan insiden membabitkan Faisal Halim dan Akhyar Rashid tidak menjejaskan imej Liga Malaysia (Liga M).

Selepas insiden Akhyar disamun dan dicederakan dengan cota baru-baru ini, arena bola sepak negara dikejutkan pula dengan insiden Faisal disimbah asid oleh individu yang tak dikenali semalam.

Susulan itu, pemain sayap Selangor FC dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Advertisements

Faisal kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan selama empat jam pada tengah malam semalam.

Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kes berkenaan membawa kepada penahanan seorang suspek berusia 20-an hari ini. Suspek kini ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut.

Advertisements

Dan terbaru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon dilaporkan menjadi sasaran simbahan asid individu yang tidak bertanggungjawab.

Situasi ini mendorong beliau membuat laporan polis selepas melawat Faisal hari ini kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.

Advertisements

Meskipun sedih dengan perkembangan yang berlaku ketika ini, Stuart menyifatkan dua insiden tersebut tidak menjejaskan imej Liga M.

Beliau juga enggan melayan semua spekulasi yang timbul dan meminta semua pihak menyerahkan siasatan dua insiden tersebut kepada pihak berkuasa.

Advertisements

“Saya fikir ini insiden (jenayah) sosial. Saya fikir ini berlaku kepada dua pemain kebangsaan kita. Apa yang kita tahu sebab mereka pemain kebangsaan dan saya fikir insiden ini tak pernah berlaku.

“Insiden ini tidak mencemarkan imej MFL, itu satu situasi yang kita perlu tangani. Saya tak mahu kata ia mencemarkan imej MFL, saya kata kita perlu tangani isu ini dengan sebaiknya.

“Saya dengar bermacam-macam spekulasi. Ada beberapa (spekulasi) yang saya tak mahu katakan. Tapi yang unsur penerima pertaruhan itu antara spekulasi yang ada.

“Tapi saya rasa itu tidak ada kaitanlah secara langsung. Liga kita adalah liga yang kita hormati, semua pemain berusaha menjaga integriti liga kita. Ada yang berstatus pemain kebangsaan lagi. Jadi, jangan kita buat sebarang spekulasi tanpa sebarang bukti,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.

Stuart percaya insiden-insiden ini tidak akan menggugat perjalanan liga yang sudah dirancang termasuk perlawanan Piala Sumbangsih yang akan berlangsung pada 10 Mei ini.

“Tak ada, perlawanan masih berjalan. Dan kalau ada apa-apa, ia akan diumumkan oleh MFL tapi buat masa ini, Piala Sumbangsih akan berlangsung pada Jumaat,” tambahnya.

Selangor bakal bersemuka dengan juara Liga Super musim 2023, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk aksi Piala Sumbangsih pada Jumaat ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram