Iran Pertimbang Tarik Diri Piala Dunia 2026
MakanBola
CAFA

Iran menimbang kemungkinan menarik diri dari saingan Piala Dunia 2026.

Akhbar Marca melaporkan kemungkinan itu dibangkitkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFRI), Mehdi Taj.

Ini selepas negara Asia Barat itu menjadi sasaran serangan udara Amerika Syarikat dan rejim Israel pada 28 Februari lalu.

Serangan tersebut mengakibatkan Iran melancarkan serangan balas ke atas semua sasaran yang ada kaitan dengan kepentingan dua negara berkenaan.

“Dengan mengambil kira apa yang berlaku pada hari ini dan serangan oleh Amerika Syarikat, ada kemungkinan kita akan ke Piala Dunia dengan harapan tetapi pemimpin-pemimpin badan sukan yang perlu menentukan tentang perkara itu,” katanya.

Iran antara pasukan yang akan membawa cabaran Asia dalam saingan Piala Dunia 2026.

Kumpulan G menyaksikan Iran akan bersaing dengan New Zealand, Belgium dan Mesir. Iran akan membuka kempen kumpulan dengan menentang New Zealand pada 15 Jun.