Pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim dlantik sebagai ketua jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).
Pelantikan jurulatih berusia 73 tahun itu diumumkan pengurusan KRW FC menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.
“Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) dengan rasmi mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai Ketua Jurulatih,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Pelantikan ini dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keperluan pasukan dan visi yang ingin dicapai. Irfan Bakti adalah jurulatih yang berpengalaman lebih dari 30 tahun dan namanya tidak asing lagi di Malaysia ini.
“Sebagai ketua jurulatih, beliau bertanggungjawab mengemudi pasukan utama serta menerapkan falsafah permainan yang sejajar dengan identiti KRW FC.”
Irfan bukan asing dalam arena bola sepak negara. Ini kerana beliau melatih banyak pasukan berwibawa seperti Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Felda United dan Kuching City FC.
Antara trofi yang pernah diraih beliau dalam karier kejurulatihannya ialah Piala FA, Piala Sumbangsih dan naib juara Piala Malaysia.
Selain itu, Irfan juga pernah melatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) dan kelab Indonesia, Persipura Jayapura.