Pengendali baharu Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim mahu menggunakan pasukan itu untuk mengetengahkan lebih ramai pemain berbakat beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).
Pengendali berpengalaman itu berpandangan sedemikian kerana beliau percaya terdapat ramai pemain berbakat di luar sana yang masih belum diketengahkan.
Atas sebab itu, Irfan bersedia memberi seandainya mereka cukup bagus untuk mewakili Kelantan RW dalam saingan Liga M.
“Saya rasa ramai pemain yang berminat tetapi bakat mereka kita tidak nampak,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Najmi Iman.
“Jadi, dengan adanya pemilihan ini, mungkin ya jika ada pemain yang baik, kita akan pilih untuk pasukan Kelantan.”
Kelantan RW ketika ini sedang mengadakan sesi pemilihan pemain untuk membentuk barisan pemain baharu pasukan itu.
Selepas mengadakan sesi pemilihan di beberapa jajahan sekitar negeri Kelantan, Kelantan RW mengadakan sesi pemilihan di Lembah Klang pada 2 Februari lalu.
Selain menjalankan sesi pemilihan, pasukan itu turut dilaporkan bakal merekrut bekas pemain kebangsaan, Faiz Nasir.
Faiz, 32, dilaporkan sudah menyatakan persetujuan secara lisan untuk menyertai Kelantan RW. Sebelum ini, beliau beraksi secara pinjaman bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).