Isteri kepada pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco tampil menyuarakan impian suaminya yang mahu mewakili Harimau Malaya.
Skuad kebangsaan kini dalam persiapan menuju ke kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026, dengan senarai 23 pemain telah pun diumumkan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Harimau Malaya menerima tonik tambahan pada kem latihan pusat kali ini selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan bahawa tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo boleh mewakili Malaysia.
Hasrat untuk melihat seorang lagi tonggak pertahanan bersama skuad kebangsaan tidak kesampaian apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan tidak menghantar dokumen Gallifuoco ke FIFA.
“Untuk Giancarlo, saya perlu dapatkan perincian terlebih dahulu.
“Saya akan mendapatkan butiran daripada unit undang-undang (FAM) terlebih dahulu kerana ia melibatkan isu teknikal,” tambahnya lagi,” ujar Setiausaha Agung FAM.
Isteri pemain tersebut – Olivia Gallifuoco tampil memuat naik satu hantaran yang menggambarkan kekecewaan suaminya selepas tidak mendapat peluang untuk bersama pasukan kebangsaan.
“Jersi ni memang tepat menggambarkan impian suami saya terhadap Harimau Malaya yang kini hanya tinggal seutas benang,” katanya.
Menjawab pertanyaan peminat, beliau juga menafikan bahawa pernah mewakili skuad muda Australia menjadi penghalang buat Giancarlo bersama Harimau Malaya.
“Salah. Mewakili pasukan remaja Australia bukan isu teknikal untuk menukar kewarganegaraan apabila bermain bola sepak di peringkat senior,” tambahnya lagi di laman Threads.
Setakat ini, masih belum ada sebarang perkembangan lanjut daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung status semasa Giancarlo untuk mewakili Harimau Malaya.