J-League: Dion Cools Beri Impak Segera Buat Cerezo Osaka
MakanBola
Cerezo Osaka

Dion Cools tampil sebagai pemain gantian untuk membantu Cerezo Osaka menewaskan Vissel Kobe menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi terbaru J-League 1 Wilayah Barat.

Selepas tewas kepada Fagiano Okayama, Cerezo berharap dapat bangkit apabila turun menentang bekas juara liga musim 2024 itu.

Tuan rumah mendahului menerusi Rikito Inoue pada separuh masa pertama. Kobe kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Mitsuki Hidaka pada separuh masa kedua.

Menyedari kedua-dua pasukan terikat 1-1, jurulatih Cerezo, Arthur Papas memasukkan lima pemain gantian termasuk Cools pada babak kedua.

Selepas terikat 1-1, pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti. Pada akhirnya, Cerezo meraih kemenangan dengan keputusan 6-5.

Cools antara yang bertanggungjawab menyempurnakan penalti buat tuan rumah. Selain kapten Harimau Malaya itu, bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa turut mengambil penalti.

Keputusan itu menyaksikan Cerezo kini mengutip 11 mata, dua mata di belakang Kobe yang menduduki tangga ketiga J-League 1 Wilayah Barat.

Impak Cools turut diiktiraf oleh Sofascore. Meskipun masuk pada minit ke-75, bekas pemain Buriram United itu mendapat 7.4 mata.

Persembahan baik Cools dijangka menyuntik semangat Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini.