Jalil Elias & Oday Kharoub Bawa Tarikan Berbeza Ke Liga Super
Liga Super
JST/KDN FC
Advertisements

Kehadiran dua bintang import baru Liga Super, Jalil Elias dan Oday Kharoub dijangka menambah tarikan berbeza menjelang musim 2024/25 yang bermula pada bulan hadapan.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Elias bukan saja hadir dengan reputasi sebagai pemain paling mahal dalam Liga Super dengan nilai semasa €3 juta (RM15 juta).

Malah, pemain tengah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu pernah mewakili beberapa kelab besar dalam kariernya seperti San Lorenzo dan Newell’s Old Boys.

Advertisements

“(Perpindahan) Jalil Elias awal-awal lagi sudah diumumkan JDT. Mungkin ramai tak tahu nilai pasaran Jalil Elias ke JDT menurut Transfermarkt berjumlah RM15 juta.

“(Beliau) ketika ini mendahului pemain paling mahal bagi nilai pasaran perpindahan Liga Malaysia.

“Saya difahamkan (nilai tersebut) mengatasi Jordi Amat sebelum ini sebanyak RM4 juta mengikut nilai Transfermarkt dan diikuti oleh Fernando Forestieri,

Advertisements

“Jadi, saya mengikut rapat Jalil Elias semasa bersama Syria di Piala Asia. Walaupun datang dari Argentina, (beliau) gah datang dari kelab besar iaitu San Lorenzo.

“Jadi, kehadiran Jalil Elias ialah perpindahan nombor satu untuk pemain import baru,” katanya kepada pengacara, Hafizal Hamad untuk segmen redONE Keluar Masuk Liga M di Nadi Arena semalam.

Zulhelmi turut menyifatkan perpindahan Oday ke Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sebagai unik dan menarik.

Advertisements

Ini kerana bekas pemain Hilal Al-Quds itu sanggup menolak tawaran perpindahan lumayan dari beberapa liga di Timur Tengah untuk beraksi dalam Liga Super.

Oday dilihat berbuat demikian atas rasa terima kasih kerana sokongan yang diberi Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin terutama di Gaza,

“Perpindahan ini amat dekat di hati saya kerana pengurusan (Kelantan sebelum ini) meninjau pasukan Palestin (semasa Piala Asia 2023).

Advertisements

“Jadi, saya rasa kehadiran mereka berbaloi kerana berjaya mendapatkan Oday Kharoub, pemain tengah yang beraksi untuk Hilal Al-Quds sebelum ini.

“Dan yang lebih menarik pasal Oday ini ialah dia sanggup menolak tawaran lumayan liga Qatar atau liga dari rantau sana untuk beraksi di Malaysia.

“Sebab beliau melihat keterujaan dan semangat Malaysia (kepada Palestin). Sokongan kepada Palestin itu mendorong Oday memilih Malaysia meskipun gaji yang diterima lebih rendah daripada kelab-kelab lain,” tambahnya.

Kelibat Elias dan Oday dijangka disaksikan buat kali pertama apabila Liga Super membuka tirai 2024/25 pada 10 Mei ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram