Jangkaan Format FIFA ASEAN Cup, Malaysia Di Divisyen Satu?
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia bakal diletakkan dalam kelompok negara handalan di Asia Tenggara berdasarkan format jangkaan FIFA ASEAN Cup 2026.

Saingan FIFA ASEAN Cup 2026 bakal berlangsung selepas dilancarkan tahun lalu dengan misi utama untuk menaikkan kualiti serta persaingan bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Lebih menarik, kejohanan ini bakal diadakan dalam kalendar antarabangsa FIFA untuk membantu negara-negara ASEAN mengutip mata tambahan ranking maksimum apabila turun beraksi.

Di sebalik keterujaan ini, persoalan timbul mengenai bilangan negara yang terlibat dan format kejohanan apabila beberapa laporan media terkemuka di rantau Asia Tenggara telah mula membincangkan hal ini.

Laman ASEAN Football sebelum ini mendedahkan bahawa format sistem dua divisyen bakal diperkenalkan pada edisi sulung FIFA ASEAN Cup ini dengan Indonesia dipilih selaku tuan rumah divisyen 1.

Apa yang menarik adalah pengumuman Hong Kong sebagai tuan rumah bagi saingan divisyen 2 FIFA ASEAN Cup, lantas menimbulkan tanda tanya mengenai penyertaan negara dari Asia Timur itu.

Tak lama kemudian, Seasia Goal merungkai jangkaan format kejohanan yang menyaksikan Malaysia diletakkan bersama-sama Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura di divisyen 1

Manakala bagi divisyen 2 melibatkan negara-negara seperti Hong Kong, Laos, Kemboja, Myanmar, Timor Leste dan juga Brunei yang diklasifikasikan berdasarkan ranking FIFA ketika ini.

Setiap divisyen akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B, yang terdiri daripada 3 negara setiap satu dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Keputusan di peringkat separuh akhir setiap divisyen akan membawa negara-negara ini ke perlawanan akhir dan aksi penentuan tempat ketiga untuk menentukan kedudukan pemenang.

Satu format menarik adalah negara tercorot di kumpulan A dan B divisyen 1 bakal turun dalam aksi penentuan dengan pasukan yang kalah akan ‘turun pangkat’ ke divisyen 2 pada edisi akan datang.

Sementara itu, pemenang final divisyen 2 pula akan naik ke divisyen 1 pada FIFA ASEAN Cup edisi berikutnya dan bakal bersaing bersama-sama 5 lagi negara terbaik di rantau Asia Tenggara ini.

Walau bagaimanapun, ini hanyalah jangkaan format semata-mata dengan pengumuman lebih lanjut bakal dilakukan oleh FIFA tidak lama lagi.