Indonesia Tuan Rumah FIFA ASEAN Cup Divisyen 1
MakanBola
Timnas Indonesia

Indonesia dilaporkan terpilih menjadi tuan rumah bagi FIFA ASEAN Cup Divisyen 1 buat julung kalinya.

Perkara tersebut dimuktamadkan sempena Kongres FIFA ke-76 seperti yang dilaporkan oleh ASEAN Football yang turut mendedahkan butiran awal berkaitan kejohanan berkenaan.

Dalam masa sama, format kejohanan turut disahkan dengan pengenalan sistem dua divisyen yang akan digunakan bagi edisi pertama ini.

Struktur tersebut menjadi asas utama kepada penganjuran FIFA ASEAN Cup 2026 yang melibatkan penyertaan pasukan di rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat, Indonesia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Divisyen 1 untuk edisi sulung kejohanan ini.

Pemilihan tersebut diumumkan bersama pengesahan struktur pertandingan yang telah dipersetujui oleh pihak berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Hong Kong pula akan bertindak selaku tuan rumah bagi saingan Divisyen 2 sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah negara Asia Timur ini bakal menjadi salah satu pasukan jemputan?

Selain Hong Kong, nama Australia turut disebut sebagai antara pasukan yang berpotensi dijemput oleh ASEAN Football Federation (AFF) untuk menyertai kejohanan kali ini.

Pengumuman rasmi mengenai FIFA ASEAN Cup 2026 dijangka akan disampaikan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam masa terdekat.

Beliau dijadualkan memberikan pengesahan lanjut berhubung kejohanan itu termasuk butiran berkaitan pelaksanaannya.

FIFA ASEAN Cup 2026 bakal menjadi edisi pertama yang dianjurkan menerusi format baharu ini melibatkan dua divisyen dan dijangka bakal berlangsung pada September hadapan.

Kejohanan tersebut akan berlangsung dengan penyertaan pasukan dari rantau Asia Tenggara berdasarkan struktur yang telah diumumkan.