Beregu lelaki profesional Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menjadi satu-satunya wakil Malaysia di pentas separuh akhir Japan Masters 2023 yang berlangsung esok.
Ini selepas regu nombor 12 dunia itu berjaya menewaskan wakil Taiwan, Lee Fang-Chih dan Lee Fang-Jen dalam aksi suku akhir yang berlangsung pada hari ini.
Yew Sin-Ee Yi memiliki kelebihan dalam perlawanan hari ini kerana dua kali mengatasi Fang-Chih dan Fang-Jen dalam dua rekod pertemuan.
Set pertama menyaksikan naib juara Kejohanan Badminton Asia 2023 itu berdepan tentangan sengit regu yang menduduki ranking ke-25 dunia itu.
Bagaimanapun, Yew Sin-Ee Yi berjaya mengawal tempo permainan sebelum menang dengan keputusan 21-19.
Skrip sama berulang pada set kedua. Biarpun Fang-Chih-Fang-Jen cuba menyekat kemaraan Yew Sin-Ee Yi, kemenangan regu negara itu berjaya diraih dengan keputusan 21-16.
Yew Sin-Ee Yi kini bakal berdepan regu China yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Liu Yuchen dan Ou Xuanyi di pentas separuh akhir esok.