Japan Masters: Pearly Tan & M. Thinaah Berjuang Lepasi Pusingan Pertama
UltraSukan

Regu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah terpaksa bekerja keras sebelum mara ke pusingan kedua Japan Masters 2023 petang tadi.

Ini merupakan penampilan pertama regu yang menduduki ranking ke-13 dunia itu dalam tempoh sebulan selepas kempen Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Turun menentang regu Korea Selatan, Lee Yu-lim dan Shin Seung-chan, Pearly-Thinaah membuktikan sentuhan mereka kekal berbisa.

Set pertama menyaksikan mereka meraih pendahuluan selesa pada kedudukan 11-6. Biarpun cuba dikejar regu yang menduduki ranking ke-26 dunia itu, Pearly-Thinaah meraih kemenangan dengan keputusan 21-14.

Set kedua menyaksikan regu Korea Selatan itu bangkit. Giliran mereka pula mendahului pada kedudukan 11-7.

Pearly-Thinaah berjaya mengejar tetapi gagal memanfaatkan momentum mereka. Ini membuka ruang kepada Yu-lim dan Seung-chan meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 22-20.

Apabila perlawanan diheret ke set penentuan, Pearly-Thinaah kembali mendahului pada kedudukan 11-7.

Kesungguhan regu negara meraih kemenangan gagal disekat Yu-lim dan Seung-chan. Dan itu sudah cukup bagi mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-18.

Pearly dan Thinaah bakal menanti pemenang satu lagi aksi pusingan pertama antara Rui Hirokami-Yuna Kato (Jepun) dan Francesca Corbett-Allison Lee (Amerika Syarikat) di pusingan kedua.