Japan Masters: Pearly Tan & M. Thinaah Ke Suku Akhir, Ketepikan Cabaran Regu Jepun

Pearly Tan M. Thinaah Badminton Photo Raphael Sachetat 2 Japan Masters: Pearly Tan & M. Thinaah Ke Suku Akhir, Ketepikan Cabaran Regu Jepun
Badminton Photo/Raphael Sachetat
Azim Noor @mohdazim45
1:23pm 16/11/2023

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah mudah lepasi pusingan kedua Japan Masters 2023 dan mara ke suku akhir.

Pearly-Thinaah berjaya mara selepas mengatasi regu yang menduduki ranking ke-28 dunia, Rui Hirokami dan Yuna Kato dari Jepun.

Biarpun berehat selama sebulan selepas Sukan Asia 2023, kehandalan regu negara yang menduduki ranking ke-13 dunia itu sukar dicabar lawan.

Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah selesa mendahului pada kedudukan 11-7. Biarpun Hirokami-Kato berjaya mengejar, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu kekal tenang dan meraih kemenangan 21-17.

Skrip sama dipamerkan Pearly-Thinaah dalam set kedua. Keyakinan mereka mengawal permainan memastikan set kedua berjaya dimenangi dengan keputusan 21-16.

Pearly-Thinaah kini menanti pemenang satu lagi perlawanan pusingan kedua antara regu Jepun, Rena Miyakura-Ayako Sakuramoto dan regu Taiwan, Sung Shou-Yun dan Yu Chien-Hui.